KUALA TERENGGANU, 18 November - International Golden Monsoon Ride & Run (IGMRR) 2025 bakal tampil dengan kelainan baharu apabila menjadikan bandaraya Kuala Terengganu sebagai 'trek' perlumbaan kategori basikal bukit (MTB) yang lazimnya dianjurkan di belantara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim, penganjuran di bawah pengurusan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) kali ini mampu mencipta satu lagi kelainan dalam aktiviti berbasikal di negeri tersebut.
"Semua kaedah kita alu-alukan selagi mana kita tidak terlalu menutup keselesaan rakyat. Kepelbagaian ni menunjukkan bahawa kebanyakan penganjur-penganjur sukan di negeri Terengganu tidak buntu idea dan sentiasa berkembang untuk membuat acara dengan lebih kreatif.
"Saya harap ia menjadi satu tarikan yang baru," katanya pada sidang media IGMRR 2025 di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambahnya, terdapat satu lagi penambahbaikan dari penganjuran sebelum ini apabila IGMRR 2025 yang berlangsung pada 19 dan 20 Disember ini, menawarkan acara Fun Run sejauh lima kilometer bagi 'memikat' penyertaan penggemar sukan larian.
"Saya dimaklumkan tadi penyertaan untuk keseluruhanlah mencecah angka 3,500 (orang).
"Selain daripada acara perlumbaan ini, saya lihat ada lagi program-program sampingan yang melibatkan pengunjung seperti mewarna. Ada juga demonstrasi masakan makanan-makanan Terengganu dan dimaklumkan mereka nak buat lebih supaya dapat dihidangkan kepada pengunjung luar," jelas Hishamuddin.
IGMRR 2025 menampilkan empat kategori saingan iaitu Fun Run (5km), MTB Race sejauh 30km, Fun Ride (60km) dan acara baharu , Duathlon melibatkan larian (5km) + berbasikal (30km) + larian (5km).
Bagi menyerikan perlumbaan, pihak SATU turut mengadakan karnival sepanjang dua hari kejohanan, bermula Khamis malam dengan penampilan Ustaz Azhar Idrus dan jamuan rakyat berkonsepkan ala kampung pada Jumaat, sebelum berlangsungnya perlumbaan pada Sabtu.