i-MiTS Diseru Ganda Usaha Bangunkan Masyarakat
Yahaya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa i-MiTS. |
KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) diseru melipat gandakan usaha dan kerja keras sebagai penggerak kepada masyarakat bagi merealisasikan agenda Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali berkata, tempoh satu tahun menjadi kelaziman kepada pihak pengkaji politik untuk membuat penilaian kepada sesebuah kerajaan.
“Apa yang kita mahu ialah kerajaan yang dibina hari ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Sudah tentulah apa yang dicapai oleh kerajaan ini menjadi gambaran terhadap perjuangan parti pemerintah (PAS) yang telah dibuat berpuluh-puluh tahun yang lalu.
“Antara yang menjadi barisan depan dalam kerajaan adalah i-MiTS sebagai jentera yang menghubungkan kerajaan dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), di Hotel Permai, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar dan Pengarah i-MiTS, Kamaruzzaman Abdullah.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengerusi jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.
Yahaya yang hadir bersama isteri , Zarani Othman, turut mengingatkan kakitangan i-MiTS supaya tidak leka dan terlalu selesa dengan suasana semasa.
“Umumnya mengatakan bahawa kerajaan kita adalah kerajaan yang baik. Tetapi kita tak boleh selesa dengan apa yang disebutkan.
“Masih banyak ruang-ruang yang perlu diperkemaskan dalam membina kekuatan yang ada,” katanya.
i-MiTS diwujudkan pada Julai 2018 dengan kekuatan 427 kakitangan di seluruh 32 DUN Terengganu menyasarkan aktiviti pembangunan belia dan golongan berpendapatan rendah (B40).