Ustaz Hilmi Harun (kiri) berucap dalam program tersebut. |
HULU TERENGGANU - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) akan membantu memudahkan kerja-kerja khususnya dalam menjana kekuatan kerajaan supaya menepati moto Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Harun berkata, pegawai dan kakitangan i-MiTS Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir berperanan menjalankan kerja dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti seperti mana yang telah digariskan oleh kerajaan negeri.
"Ikatan akidah yang kuat perlu ada di antara rakyat dan pemimpin serta Allah.
“Saya menaruh keyakinan sepenuhnya semua yang baharu dilantik adalah yang terbaik yang akan memberikan komitmen yang terbaik kepada kerajaan negeri.
“i-MiTS merupakan usaha kepada pembinaan modal insan, dan kita akan menggarap jiwa masyarakat bertepatan dengan Al-Quran dan Hadis,” jelasnya.
Tambah beliau, mereka yang terpilih adalah ketentuan Allah supaya mengalas tugas dengan sebaik mungkin dan sewajarnya.
“Allah memilih kita sebagai pemimpin kerana hendak memberi pahala atas usaha, pertolongan, bantuan dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Solat Hajat dan Pembukaan Pejabat i-MiTS di Kampung Pulau Bahagia, Manir, semalam (25 Ogos).
Sementara itu, Pemangku Ketua Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu, Ustaz Ismail Osman telah menyentuh perihal kewajipan pemimpin menjalankan amanah dan hubung kait dengan dosa pahala yang menentukan syurga atau neraka dalam tazkirahnya.
Lebih dari 100 orang hadir dalam program solat hajat ini dengan jemputan terdiri dari seluruh jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN Manir.
Selain itu, jemputan juga terdiri daripada imam-imam, bilal-bilal masjid dan penghulu di dalam DUN Manir.
Program diakhiri dengan sedikit jamuan kepada hadirin dan semua jemputan.