ICABEC 2018 Tumpu Bidang Ekonomi

Profesor Dato' Dr. Nor Aieni bersama peserta yang menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Perakaunan Dan Ekonomi Antarabangsa (ICABEC) 2018 di UMT, hari ini. Foto Oleh Solahuddin Al-Idrus

 
Persidangan Perakaunan dan Ekonomi Antarabangsa (ICABEC) 2018 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memberi penekanan kepada penemuan inovasi baharu bagi memperkasa bidang ekonomi.

Program perkongsian ilmu anjuran Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, UMT itu menjadi platform bagi menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang berkenaan dari dalam dan luar negara.

Naib Canselor UMT, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, lebih 60 peserta termasuk dari United Arab Emirates, Indonesia, Jordan, Yaman dan Egypt menyertai persidangan kali ke lima dianjurkan itu.

“Bertemakan ‘Kelestarian Inovasi’ dalam menghadapi cabaran revolusi industri, persidangan ini memfokuskan kepada bidang berkaitan perakaunan, pembiayaan, percukaian, pengurusan maritim, hospitaliti dan pelancongan serta lain-lain,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perakaunan dan Ekonomi Antarabangsa (ICABEC) 2018 di UMT, hari ini.

Katanya, beliau yakin persidangan tersebut memberikan input yang sangat diperlukan dari sudut akademik dalam menyokong negara untuk memenuhi visi menjadi negara maju.

“Dalam mendepani revolusi industri 4.0, peranan pemeliharaan inovasi dan kesan utama revolusi ini terhadap produktiviti manusia antara perkara yang bakal menjadi topik perbincangan utama,” ujarnya.

Menurut beliau, program persidangan sebegini amat penting dalam usaha mencari penyelesaian isu-isu berkaitan memperkasa ekonomi negara.

Tag: