Idea ADUN Belia Cermin Pandangan Generasi Muda Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang berlangsung bermula semalam perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan wakil generasi muda negeri.
Timbalan Yang Dipertua Dewan ADUN Belia Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, cadangan-cadangan yang dikemukakan harus diambil serius supaya pihak bertanggungjawab dapat melihat pandangan-pandangan daripada kalangan mereka sendiri yang berada dalam kelompok belia.
"Idea-idea yang baik dapat kita implementasikan sebagai satu gerakan untuk menjayakan suatu visi dan misi kerajaan Terengganu ke arah melahirkan belia yang mempunyai sikap proaktif dalam melaksanakan ataupun menzahirkan perkara-perkara yang kita katakan sangat mustahak untuk membentuk generasi yang akan datang.
"Saya fikir, usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri adalah usaha yang terkehadapan.
"Maknanya, kerajaan sendiri cuba untuk melihat ke dalam pemikiran masyarakat belia sendiri. Bukan kita yang mencadangkan, bukan pihak lain yang melangkaui usia belia yang cadangkan tetapi kita mengambil input itu daripada kalangan belia itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas mengendalikan Persidangan ADUN Belia Terengganu, hari ini.
Tambahnya, usaha tersebut pasti dapat menghidupkan idealisme yang cuba ditampilkan oleh pelbagai pihak dalam negeri yang sekaligus mampu mencambah idea-idea baru yang lebih baik.
"Saya juga fikir bahawa antara perkara yang aa mereka berjaya tonjolkan ialah kesepakatan dalam melahirkan idea-idea baru. Ini amat menarik.
"Kajian yang mereka buat juga bukan sahaja menyentuh soal dalaman negara tetapi juga melangkaui sejarah-sejarah silam dengan mengambil sisi kegemilangan yang berlaku dalam aspek pemerintahan, aspek pendidikan, kekeluargaan dan seumpamanya," katanya.