lightning-solid
Berita :
Ilmu Seimbang Akademik dan Agama Benteng Anak Muda Hadapi Cabaran Universiti
Ilmu Seimbang Akademik dan Agama Benteng Anak Muda Hadapi Cabaran Universiti
Rohayati Ripin
30 Jan 26
61

KUALA NERUS, 1 Februari – Kepentingan ilmu yang seimbang antara akademik, agama dan akhlak menjadi tumpuan utama dalam mendidik generasi muda agar mampu menghadapi cabaran di peringkat pengajian tinggi, termasuk universiti, tanpa terjebak dalam pengaruh negatif.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Muhamed berkata, kebebasan yang dinikmati pelajar di universiti tanpa pemantauan ibu bapa menuntut kekuatan ilmu, iman dan jati diri yang kukuh sebagai benteng daripada cabulan akhlak dan pengaruh tidak sihat

Katanya, ilmu tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pencapaian akademik dan sijil, sebaliknya perlu berfungsi sebagai panduan hidup yang membezakan antara baik dan buruk serta membawa manusia kepada pengukuhan iman kepada Allah SWT.

“Kerajaan negeri amat menekankan pendidikan berteraskan agama dan akhlak kerana kita tidak mahu melahirkan graduan yang hebat dari segi akademik tetapi kosong ilmu agama serta gagal mempamerkan akhlak yang baik,” jelasnya.

IMG_20260130_215124_977.JPG 982.56 KB
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis haflah takrim dan Idul Ilmi 2026 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, pada Jumaat.

Ahmad Shah turut menegaskan bahawa penguasaan ilmu agama, termasuk hafazan al-Quran, mampu membentuk profesional berintegriti dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Tambahnya, anugerah dan kejayaan yang diraikan hanyalah permulaan kepada perjalanan panjang dalam menuntut ilmu.

Justeru itu, pelajar diingatkan agar sentiasa menjaga diri, pegangan agama dan akhlak sepanjang menempuh fasa baharu kehidupan.

"Hari ini, kita meraikan kejayaan anak-anak kita yang bergraduasi, seramai 88 orang, termasuk 10 orang yang berjaya menghafaz Al-Quran.

"Saya yakin, untuk mencapai kejayaan sehingga ke peringkat sekolah bukanlah mudah, apatah lagi bagi mereka yang telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran  bukan semua orang mampu menempuh cabaran sebegini dan akhirnya berjaya.
IMG_20260130_214756.jpg 968.7 KB
"Ini adalah pencapaian yang sangat istimewa dan bukan sesuatu yang mudah diperoleh," tambahnya lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan