Oleh : NURUL NATASHA SURIN
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Kerajaan Negeri Terengganu menerajui program kemanusiaan DRIVE4GAZA 1.0 menghimpunkan NGO, komuniti 4x4 dan masyarakat dari seluruh negara sebagai bukti solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Gaza.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri konsisten menyokong usaha kemanusiaan Palestin sebagai tanggungjawab moral dan sejagat.

“Kemudahan asas seperti air bersih dan makanan yang mudah diperoleh di Malaysia sangat berbeza dengan realiti Gaza, di mana sekatan dan kemusnahan infrastruktur menyukarkan kehidupan seharian.
“Setiap usaha kecil rakyat Malaysia, termasuk doa, sumbangan dan perkongsian kesedaran, adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral terhadap saudara se-Islam di Palestin,” ujar beliau.

“Bantuan yang disalurkan sejak peristiwa Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 merangkumi makanan kecemasan, kit perubatan, bantuan musim sejuk, sokongan pendidikan dan pemulihan komuniti.
“DRIVE4GAZA 1.0 bukan sekadar konvoi kenderaan, sebaliknya gerakan kesedaran dan komitmen jangka panjang rakyat Malaysia yang disokong Kerajaan Negeri Terengganu,” kata Shukri.

Secara keseluruhannya, penganjuran DRIVE4GAZA 1.0 mencerminkan komitmen kolektif rakyat Malaysia dalam menyatakan solidariti bersama Gaza serta memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat secara berterusan dan bersepadu.
