KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Imej dan nama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim terus disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan, termasuk 'love scam'.
Menurut beliau, meskipun pelbagai laporan telah dibuat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak hampir empat tahun lalu, isu tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.
“Akaun palsu terus muncul sebaik sahaja akaun terdahulu dipadam, seolah-olah tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
“Saya sangat khuatir dengan kemunculan akaun palsu yang menggunakan foto dan identiti saya ini kerana ia bukan sahaja memperdaya mangsa tetapi juga mencemarkan nama baik saya,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Tegas Amzad, beliau tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk penipuan yang menggunakan gambar atau namanya.
“Saya menyeru semua untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan akaun-akaun palsu ini. Jika anda terjumpa atau menjadi mangsa penipuan seperti ini, sila buat laporan kepada pihak polis dan SKMM dengan segera.
“Saya akan terus berusaha untuk menangani isu ini dan berharap kerjasama semua pihak dalam memerangi penipuan ini,” katanya.