Jalur Gemilang
Berita :
Imtiaz Perlu Lahir Lebih Ramai Pelajar Bidang STEM
Imtiaz Perlu Lahir Lebih Ramai Pelajar Bidang STEM
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU, 21 September - Kecemerlangan akademik dan penguasaan al-Quran dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz perlu diseimbangkan dengan penglibatan lebih kukuh dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, terdapat sedikit penurunan penglibatan pelajar Imtiaz dalam bidang STEM berbanding pada peringkat awal penubuhan sekolah berkenaan.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian bagi memastikan kecemerlangan pelajar bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi turut diterjemahkan kepada penguasaan bidang kritikal yang diperlukan pada masa depan.

“Walaupun kita hebat memperoleh 10A, 9A dan 8A, kita perlu melihat lulusan dalam bidang apa yang kita hasilkan.

“Kalau lulusan sains kita kurang berbanding ketika awal penubuhan Yayasan Terengganu, kita kena fikir tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2026 di Permai Hotel, semalam.

Mohd Azmi berkata, kekuatan Imtiaz dalam penghafalan al-Quran yang membentuk kerohanian dan sahsiah pelajar perlu bergerak seiring dengan kecemerlangan akademik serta kemahiran profesional termasuk dalam bidang kejuruteraan.

“Sekolah-sekolah Imtiaz cemerlang dalam banyak perkara, tetapi dalam konteks STEM masih perlu dipertingkatkan dan penekanan harus diberikan kepada perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha Yayasan Terengganu memperkenalkan bahasa Korea dan Jepun di sekolah Imtiaz selepas bahasa Cina diperkenalkan sebelum ini.

Katanya, penguasaan bahasa asing mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Terengganu untuk melanjutkan pengajian dan menimba pengalaman di luar negara.

Beliau turut berharap Yayasan Terengganu meneroka lebih banyak peluang pendidikan antarabangsa supaya pelajar negeri itu dapat membawa pulang ilmu, pengalaman dan kepakaran baharu untuk dimanfaatkan di Terengganu.

“Saya harap Yayasan dapat meneroka peluang-peluang baharu kepada pelajar kita untuk ke luar negara, supaya mereka pulang membawa satu kelainan daripada mereka yang belajar di dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azmi menegaskan pendidikan perlu terus menjadi antara strategi utama negeri dalam memutuskan rantaian kemiskinan, khususnya bagi anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, bantuan kebajikan dan ekonomi tetap penting, namun pendidikan memberi kesan jangka panjang kerana mampu mengubah masa depan sesebuah keluarga.

“Kalau ibu ayah miskin, anak-anak mereka juga berdepan risiko meneruskan legasi kemiskinan sekiranya tidak diberikan pendidikan sepenuhnya.

“Tetapi kalau anak-anak ini kita boleh didik dan bawa ke laluan yang betul, insya-Allah keluarga itu mampu keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Tambahnya, banyak keluarga berjaya meningkatkan taraf kehidupan selepas anak-anak memperoleh pendidikan, membina kerjaya dan mendapat pekerjaan yang lebih baik.

“Bukan saya kata program lain tidak berjaya. Kita ada bantuan makanan, bantuan ekonomi dan sebagainya.

“Tetapi dari segi skala kejayaan yang mampu mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan, tidak lain ialah melalui sektor pendidikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agenda pembangunan pendidikan Terengganu terus diperluas bagi memastikan lebih ramai anak negeri, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, mendapat peluang membina masa depan lebih baik.

Pada majlis sama, seramai 29 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan 12 pesara Yayasan Terengganu menerima penghargaan atas prestasi serta khidmat bakti mereka.

Penerima APC turut menerima Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000 seorang, manakala pesara menerima hadiah dan wang tunai sebagai tanda penghargaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan