Hukuman Sebat Syariah : Negeri Lain Perlu Contohi Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Indeks jenayah di Terengganu menunjukkan penurunan sebanyak 19.3 peratus bagi tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah mengucapkan tahniah di atas kerjasama semua pihak dalam menurunkan kadar jenayah tersebut.
"Kejayaan menurunkan jenayah di negeri Terengganu pada tahun 2018 adalah suatu pencapaian yang sangat signifikan bagi kerajaan negeri.
"Ianya menunjukkan kerja keras kerajaan sekarang dan dahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi-agensi kerajaan terlibat dan juga rakyat.
"Saya benar-benar berharap penurunan ini disebabkan kerana rakyat sekarang ini secara perlahan-lahan memahami bahawa keperluan kita semua untuk menjauhi perkara-perkara buruk yang tidak membawa kebaikan samada kepada diri mahupun masyarakat.
"Ianya akan menjadi suatu kelebihan jika benar pengurangan ini benar-benar kerana perubahan diri.
"Bagi saya, jika benar, ia membawa maksud, kesedaran rakyat sudah semakin meninggi, dengan kempen-kempen yang dilakukan sebelum ini oleh semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya kelmarin.
Dalam perkembangan sama, menurut Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, kerajaan akan berterusan membantu dan membimbing rakyat bagi menuju kehidupan yang sejahtera melalui saranan-saranan Islam yang menjadi petunjuk kepada cara hidup manusia.
"Ianya penting kerana pembinaan insan adalah suatu yang sukar dan berpanjangan, tiada henti, kepada siapa sahaja.
"Saya menyeru kepada semua yang ingin melakukan kejahatan, berhentilah. Pintu taubat Allah sangat luas, rezeki Allah sangat banyak dan kebaikan tidak terkira banyaknya untuk anda lakukan.
"Kepada yang berada di atas jalan kebaikan, teruskan, sebarkan dan istiqamahlah supaya kita semua kekal berada dalam kebaikan, insya-Allah.
"Jutaan terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat, semoga kejayaan ini berterusan, tidak setakat ini sahaja. Ayuh kita sambung kerja dakwah bagi membangunkan insan dengan penerangan-penerangan yang yang benar, tepat menurut kehendak al-Quran dan sunnah dan sampai kepada sasaran," ujarnya.
Katanya, perubahan ini perlu dilakukan bermula dari diri, keluarga dan kemudian kepada masyarakat.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Aidil Ismail memberitahu, daripada 1,823 kes yang direkodkan tahun lalu, sebanyak 1,206 atau 66.2 peratus berjaya diselesaikan.
"Berbanding tahun 2017, terdapat sebanyak 2,257 kes dilaporkan dengan 1,706 daripadanya diselesaikan," jelasnya.