Jalur Gemilang
Berita :
160 Orang Asli Terima Bantuan RM24,000 Menerusi Sekasih
160 Orang Asli Terima Bantuan RM24,000 Menerusi Sekasih
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
75

HULU TERENGGANU, 14 Oktober - Seramai 160 penerima dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu menerima sumbangan keseluruhan RM24,000 menerusi Program Sentuhan Kasih Sejuta Erti (Sekasih) 2026.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, usaha mendekati masyarakat Orang Asli perlu melangkaui pemberian bantuan dengan mengambil kira keperluan, potensi dan aspirasi komuniti itu.

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi ruang untuk mendengar pandangan penduduk serta membina hubungan berasaskan rasa hormat dan kepercayaan.

“Kami datang ke Kampung Sungai Berua ini pada hari ini, bukan hanya untuk memberi tetapi kami datang untuk mengenali, mendengar, memahami dan membina hubungan.

“Kami mahu hadir sebagai sahabat dan sebahagian daripada keluarga besar masyarakat Negeri Terengganu,” katanya ketika berucap pada program anjuran USWa di kampung itu, baru-baru ini.

Roslina berkata, masyarakat Orang Asli tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penerima bantuan.

“Masyarakat Orang Asli mempunyai kekuatan, budaya, pengalaman, potensi dan aspirasi mereka sendiri.

“Justeru, hubungan yang kita bina ini mestilah berasaskan rasa hormat, kepercayaan, persaudaraan dan keprihatinan yang berterusan,” katanya.

Selain penyerahan sumbangan, Sekasih 2026 turut menawarkan pengisian pendidikan al-Quran, sains dan teknologi, pameran agensi serta permainan berilmu untuk kanak-kanak.

Menurut Roslina, pengisian itu mengambil kira pelbagai aspek kesejahteraan masyarakat, termasuk kesihatan, pendidikan, nilai kekeluargaan dan hubungan sesama komuniti.

Beliau turut menekankan keperluan memberikan peluang pendidikan dan sokongan kepada anak-anak Orang Asli supaya mereka dapat membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi masing-masing.

“Kita mahu melihat anak-anak Kampung Sungai Berua boleh melihat dunia dengan keyakinan bahawa mereka juga mempunyai masa depan yang luas.

“Mereka berhak mempunyai cita-cita yang tinggi, berhak menuntut ilmu dan berhak percaya kepada kemampuan diri sendiri,” katanya.

Roslina berkata, pembangunan wanita dan pengukuhan institusi keluarga juga perlu diberi perhatian kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menyokong pendidikan anak-anak dan kesejahteraan komuniti.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan