KUALA TERENGGANU, 18 Mac – Daging kerbau import, sawi hijau, bawang merah kecil India antara 24 jenis barangan dikenal pasti sebagai barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfiri 2026 di negeri ini.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pelaksanaan SHMMP akan dikuatkuasakan selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) hari Raya Aidilfitri 2026 di Giant Kuala Terengganu, hari ini.

“Penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan dari agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain-pemain industri,” ujarnya.
Tambah beliau, KPND Terengganu berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.

“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 (bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum),” tegasnya.
Tag :