Berita :
285 Keluarga Masih Menumpang, ADUN Bukit Tunggal Mohon Tambah Kuota RPMM
285 Keluarga Masih Menumpang, ADUN Bukit Tunggal Mohon Tambah Kuota RPMM
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
71

KUALA TERENGGANU, 22 April - Isu ratusan keluarga yang masih menetap di atas tanah milik orang lain menjadi antara fokus utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid apabila beliau memohon pertambahan kuota penempatan Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di kawasan tersebut.

Dalam perbahasannya, beliau telah mendedahkan terdapat kira-kira 285 buah rumah di DUN Bukit Tunggal yang masih berada dalam keadaan 'menumpang' di atas tanah milik orang lain atau tanah kerajaan.

Menurut ulasannya terhadap kemelut itu, antara kawasan terlibat termasuk Kampung Duyong Kecil, Duyong Wan Su, Duyong Kelab Aya, Duyong Besar serta Pulau Ketam di Pulau Duyong.

"Jadi kita ada 285 buah rumah yang menumpang di atas tanah milik orang lain dan juga duduk atas tanah kerajaan," katanya.

Tegas beliau, situasi tersebut memerlukan penyelesaian segera melalui penambahan kuota penempatan RPMM, khususnya bagi projek RPMM Pulau Duyong Sejahtera 3 yang hanya diperuntukkan 66 unit rumah.

Oleh yang demikian, beliau memohon agar kuota penempatan bagi Dun Bukit Tunggal ditambah daripada 50 peratus seperti kebiasaan kepada jumlah yang lebih besar, bagi memberi keutamaan kepada penduduk terlibat.

"Jadi kalau kita tidak selesai sekarang sebahagiannya sampai bila-bila tidak akan selesai. 

"Jadi Bukit Tunggal dengan rendah hati memohon supaya dapat ditambah lagi kuota untuk Dun Bukit Tunggal," ujarnya.

Beliau menjelaskan, permohonan itu dibuat berdasarkan jumlah keluarga yang masih belum mempunyai kediaman tetap dan bergantung kepada tanah yang bukan milik sendiri.

Langkah itu juga dicadang bagi mengelakkan risiko jangka panjang dari segi keselamatan dan perancangan pembangunan.

Dalam masa sama, Zaharuddin turut menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik melalui RPMM untuk menangani isu perumahan rakyat berpendapatan rendah.


Ketupat

Artikel Berkaitan