Berita :
3,000 Bubur Lambuk, 100 Petugas Bergotong-Royong Meriahkan Ramadan
3,000 Bubur Lambuk, 100 Petugas Bergotong-Royong Meriahkan Ramadan
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
39

KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri dengan kerjasama Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) mengagihkan sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk kepada orang ramai bagi memeriahkan sambutan bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Maliaman Kassim berkata, inisiatif murni menerusi program Bubur Lambuk Perdana itu berjaya menghimpunkan 13 buah jabatan dan agensi dengan kira-kira 100 petugas yang bergotong-royong memasak juadah istimewa tersebut.


“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi yang sama-sama berganding bahu, inilah antara keindahan bulan Ramadan apabila semua pihak turun padang, berkongsi tenaga dan rezeki demi menyemarakkan semangat kebersamaan.

“Sebanyak 14 periuk bubur lambuk telah disediakan dan insyaAllah hampir 3,000 bekas akan diagihkan kepada orang ramai pada petang ini.

“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat, semoga sedikit usaha ini membawa kegembiraan dan keberkatan buat semua,” ujarnya ketika berucap merasmikan program Bubur Lambuk Perdana di Dataran Alamanda di sini, hari ini.

Katanya, penganjuran program sebegini membawa makna yang sangat besar. 

“Bubur lambuk mungkin kelihatan sebagai hidangan yang sederhana, namun di sebalik kesederhanaan itu tersimpan nilai yang cukup mendalam. 

“Ia adalah simbol kepada budaya memberi, budaya berkongsi dan budaya gotong-royong yang telah lama menjadi tradisi dalam masyarakat kita,” ujarnya.

Tambah beliau, program seperti ini juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan agensi dengan masyarakat. 

“Apabila agensi turun padang, bekerjasama dan berinteraksi secara langsung dengan rakyat, hubungan yang terjalin akan menjadi lebih dekat dan lebih bermakna. 

“Inilah antara perkara penting dalam membina sebuah masyarakat yang saling percaya dan saling menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan