KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Seramai 305 warga asing dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu menerusi 22 operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dilaksanakan dari Januari hingga 11 Oktober tahun ini.
Pengarah JPJ Negeri Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pemandu warga asing mematuhi undang-undang jalan raya, termasuk keperluan memiliki lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans.
“Sepanjang tempoh operasi, kita mengeluarkan 1,466 saman P22 dan mengambil tindakan terhadap 299 kenderaan, manakala 291 kenderaan disita,” jelasnya.

Menurutnya, warga Myanmar dan Rohingya mencatatkan jumlah tertinggi dikenakan tindakan iaitu 202 orang, diikuti Bangladesh (36), Indonesia (24), China (16), Pakistan (14), Thailand (tiga), Nepal (seorang) dan negara lain (sembilan).
Menurut statistik operasi, sebanyak 1,533 kesalahan direkodkan dengan kesalahan memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) menjadi kesalahan tertinggi iaitu 572 kes.
Ia diikuti kesalahan teknikal sebanyak 323 kes, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (274), tiada perlindungan insurans (256) dan lain-lain kesalahan (108).

“Dalam konteks ini, kita seolah-olah berdepan satu kitaran yang tidak berkesudahan. Walaupun kenderaan disita, warga asing masih boleh mendapatkan kenderaan lain.
“Keadaan ini menunjukkan ada pihak dalam kalangan penduduk tempatan yang sanggup menyewakan kenderaan kepada warga asing,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 291 kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, terdiri daripada 247 motosikal, 36 motokar dan lapan kenderaan lain.
Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 131 notis PG.1 di bawah Seksyen 59 sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

“Kita perlu saling mengingatkan supaya tidak mengambil keuntungan mudah dengan menyewakan atau menjual kenderaan kepada pihak yang tidak memenuhi syarat undang-undang kerana pemilik asal juga boleh berdepan tanggungjawab terhadap kenderaan berkenaan,” katanya.
Ujarnya lagi, JPJ akan menyita kenderaan warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, lesen memandu dan cukai jalan, selain membawa kes berkenaan ke mahkamah.
Kenderaan yang disita tidak akan dilepaskan sehingga kes selesai.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pelanggaran di bawah Ops PEWA boleh menyalurkannya melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi MyJPJ menerusi saluran e-Aduan@JPJ.
