750 Penerima Terima Sumbangan Sekecil Sedekah Sejuta Barakah 3.0 di Rantau Abang
Wan Al Affan Bassam Wan Manam
4 jam yang lepas
51
DUNGUN, 15 Mac – Dewan Al Husna Darul Ansor dipenuhi ratusan hadirin apabila kira-kira 750 penerima hadir menerima sumbangan dalam Program Kebajikan Sekecil Sedekah Sejuta Barakah 3.0 yang melibatkan golongan fakir miskin, anak yatim serta guru-guru PASTI sekitar DUN Rantau Abang.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung dalam suasana penuh rasa syukur dan kebersamaan, sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan terutama dalam menghadapi kos sara hidup semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program kebajikan itu kini telah memasuki edisi ketiga sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu.

“Tahun ini sejumlah RM120,000 telah berjaya dikumpulkan dan kesemua dana tersebut merupakan hasil sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat serta para dermawan yang sentiasa menyokong usaha kebajikan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang ke tabung kebajikan tersebut sehingga program berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Bagi sesetengah pihak mungkin sumbangan ini kelihatan kecil, namun bagi mereka yang memerlukan ia amat bermakna dan mampu meringankan beban kehidupan,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, pihaknya berharap usaha kebajikan seperti ini akan terus mendapat sokongan masyarakat pada masa akan datang, di samping mendoakan agar semua penyumbang terus dikurniakan rezeki yang melimpah serta keberkatan.
Tag :
Utama