Berita :
Adakan Sidang khas Parlimen Isu Kenaikan Harga Minyak
Adakan Sidang khas Parlimen Isu Kenaikan Harga Minyak
Rohayati Ripin
21 jam yang lepas
66

KUALA NERUS, 30 Mac – Pihak Kerajaan digesa agar mengadakan sidang khas Parlimen dalam masa terdekat bagi membincangkan secara menyeluruh isu kenaikan harga minyak yang semakin membebankan rakyat ketika ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, langkah itu penting bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap kesan kenaikan harga minyak global susulan konflik geopolitik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, ketegangan tersebut termasuk penutupan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang membekalkan kira-kira 20 peratus minyak dunia telah memberi kesan langsung kepada peningkatan harga minyak di peringkat antarabangsa.

“Walaupun Malaysia merupakan antara pengeluar minyak, kenaikan harga domestik berlaku secara mendadak, khususnya diesel yang meningkat sehingga 80 sen sekaligus, dan ini amat membebankan rakyat serta peniaga,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, semalam.

Dr Alias menjelaskan, kenaikan secara mengejut memberi tekanan besar kepada golongan peniaga kecil, kontraktor dan pemain industri yang tidak sempat membuat persediaan untuk menampung kos tambahan.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya mengawal kenaikan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kepada rakyat, selain memastikan kebajikan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

"Ini sangat membebankan. Kita pengguna biasa dan juga peniaga-peniaga, mereka memerlukan diesel dan diberi subsidi pun tidak memadai dengan kenaikan yang begitu mendadak ini. 

"Dan kenaikan yang mendadak juga menyebabkan kita peniaga-peniaga khususnya lah kontraktor. Tidak ada persiapan untuk absorb kenaikan yang begitu besar. 

"Kalau dia naik secara perlahan-lahan, dikawal oleh kerajaan, insya-Allahlah. Mungkin dari itu boleh dipertimbangkan. Inilah yang nak kita bincangkan," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan bukan sahaja perlu menjaga kepentingan peniaga termasuk dalam sektor minyak, malah mesti mengutamakan kebajikan rakyat sebagai tanggungjawab utama.

"Kebajikan rakyat itu mesti diutamakan. Walaupun kerajaan tersepit atau ke mana pun, tapi keutamaan mesti diberi kepada kesan ni kepada rakyat ni mesti diberi," tegas beliau. 

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan ketidakseimbangan kadar kenaikan harga minyak tempatan berbanding kenaikan di peringkat global, yang disifatkan tidak selari.

“Jika kenaikan minyak dunia sekitar kadar tertentu, tidak wajar kenaikan dalam negara melebihi kadar tersebut. Ini menimbulkan persoalan dari segi rasional dan ketelusan,” ujarnya.

Beliau juga membangkitkan isu perbezaan harga minyak antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang masih mengekalkan harga lebih rendah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai dasar yang digunapakai.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sidang khas Parlimen perlu diadakan segera bagi membolehkan perbincangan terbuka antara kerajaan dan pembangkang demi mencari penyelesaian terbaik.

“Perkara ini wajar dibincangkan di Parlimen supaya segala persoalan dapat diajukan dan satu penyelesaian yang bersifat menang-menang dapat dicapai.

"Kerajaan tidak akan rugi, manakala rakyat pula tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga minyak.

"Justeru, itulah tujuan permohonan agar Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen dalam masa terdekat supaya isu ini dapat ditangani secara bersama dengan lebih adil.

"Pandangan daripada pihak kerajaan dan pembangkang perlu didengar, termasuk rasional serta cadangan daripada kedua-dua pihak. 

"Kita bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya berusaha mendapatkan penyelesaian terbaik yang dapat memberi manfaat kepada semua," tambah beliau.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan