Berita :
Bekalan Air Sempena Aidilfitri di Terengganu Terjamin
Bekalan Air Sempena Aidilfitri di Terengganu Terjamin
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
40

KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Syarikat Air Terengganu (SATU) memberi jaminan bekalan air di seluruh negeri berada pada tahap mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata pihaknya telah membuat persiapan rapi lebih awal bagi memastikan operasi bekalan air berjalan lancar termasuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan luar jangka.

Beliau berkata SATU kini berada pada tahap kesiapsiagaan sehingga 110 peratus bagi memastikan pengguna tidak berdepan masalah bekalan air ketika musim perayaan.

“Alhamdulillah, bagi sambutan Hari Raya tahun ini kita telah bersedia sepenuhnya. 

"Kita juga menjangkakan gangguan minimum seperti kes paip pecah atau kerosakan teknikal lain kerana langkah pencegahan telah diambil lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim dan Media di Hotel Permai semalam.

Menurut beliau, SATU turut meneruskan pelbagai usaha menaik taraf serta menggantikan aset-aset lama sepanjang tahun 2025 bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di negeri itu.

Selain itu, katanya sebanyak 11 kampung di Terengganu telah menikmati penambahbaikan sistem agihan air ke rumah yang dilaksanakan sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata satu projek menaik taraf sistem bekalan air bernilai kira-kira RM10 juta telah dilaksanakan melibatkan kawasan di daerah Kuala Terengganu dan Marang.

“Projek ini dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri manakala beberapa projek lain turut dilaksanakan menggunakan peruntukan dalaman syarikat,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan dalaman itu menggunakan sebahagian besar pendapatan RM225 juta yang diperoleh pada tahun lalu. 

Jelasnya, melalui pendapatan yang diperolehi daripada Pelarasan Tarif Air pada Ogos tahun lalu, sebahagian besar digunakan untuk manfaat kepada pengguna dengan pelaksanaan projek - projek bekalan air.

"Ini termasuk sumbangan CSR dalam bentuk bantuan pendidikan, komuniti, sukan, keagamaan dan alam sekitar.

"Jadi kita pulangkan semula untuk manfaat pengguna," ujarnya.

Beliau berkata dengan pelbagai langkah penambahbaikan yang dilaksanakan, SATU yakin sambutan Aidilfitri tahun ini dapat diraikan dalam keadaan lebih bersedia tanpa gangguan bekalan air yang ketara di seluruh Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan