Jalur Gemilang
Berita :
Bekas Pemain Bintang Liga Super Warnai Liga DUN
Bekas Pemain Bintang Liga Super Warnai Liga DUN
Abdul Fattah Kamarudin
1 hari yang lepas
1840

MARANG, 27 September - Kehadiran bekas pemain bintang Liga Super Malaysia, Mohd Nor Farhan Muhammad atau lebih dikenali sebagai Ben 10 mencuri perhatian apabila menyertai saingan Liga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan musim ini.

Pemain kelahiran Wakaf Tapai itu pernah menjadi antara tonggak penting Kelantan FA ketika pasukan tersebut berada di kemuncak bola sepak Malaysia.

Pengurus Bukit Perpat FC, Muhammad Azwa Azam menyifatkan kehadiran Nor Farhan sebagai satu suntikan semangat kepada seluruh pasukan.

“Kehadiran beliau memberi suntikan semangat buat rakan sepasukan. Dengan pengalaman yang dimiliki, semua itu membantu Bukit Perpat FC meraih tempat pertama Kumpulan B.

“Dengan nama yang cukup gah dalam Liga Super Malaysia satu ketika dahulu, ia sedikit sebanyak menggerunkan pihak lawan,” katanya kepada pemberita selepas kemenangan 1-0 Bukit Perpat FC ke atas Wakaf Tapai dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B.

Nor Farhan bukan sekadar membawa nama besar ke liga komuniti, malah pengalamannya di pentas tertinggi bola sepak negara turut menjadi aset kepada pasukan Bukit Perpat FC.

Sepanjang kariernya, beliau pernah membantu Kelantan menjuarai Liga Super Malaysia 2012, selain memenangi Piala FA 2012 dan 2013 serta Piala Malaysia 2010 dan 2012.

Dalam final Piala FA 2013, Nor Farhan turut mencipta nama apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan Kelantan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dan membantu Malaysia menjuarai Pesta Bola Merdeka 2007.

Prestasinya bersama Kelantan turut menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) pada 2012 dan 2013, dua tahun berturut-turut.

Kehadiran bekas pemain berprofil tinggi dalam saingan liga DUN bukan sesuatu yang baharu di sekitar Marang.

Antara nama lain yang pernah mewarnai liga komuniti di kawasan itu termasuk bekas bintang Terengganu FA, Ashari Samsudin atau Silent Killer, yang beraksi bersama Belukar Sukai dalam Liga DUN Alur Limbat.

Selain itu, bekas penjaga gol Terengganu FA, Sharmiza Yusuf, serta bekas pemain T-Team, Muhammad Hafizan Talib, turut beraksi bersama Rusila FC dalam saingan Piala ADUN Rhu Rendang.

Fenomena ini memperlihatkan bagaimana liga peringkat DUN bukan sahaja menjadi medan persaingan antara pasukan setempat, malah turut membuka ruang kepada bekas pemain profesional untuk kembali turun ke padang, berkongsi pengalaman dan memeriahkan lagi saingan bola sepak komuniti.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan