Dari Setiu Ke Pentas Dunia, SK Pak Ba Terus Mengharumkan Nama Malaysia
Ariss Alias
12 jam yang lepas
74
SETIU, 10 Ogos — Siapa sangka murid dari sebuah sekolah rendah di daerah Setiu mampu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Ba muncul juara kategori Robot Soccer Primary School pada CPU 4th ASEAN Grand Prix Youth Robotics & Esports Competition 2026 di Thailand, baru-baru ini.
Kejayaan membanggakan itu dicapai menerusi gandingan dua murid SK Pak Ba, Muhammad Iman Faiz Ahmad Hadi dan Ahmad Afiq Firas Ahmad Nazri, yang mengharumkan nama sekolah, Terengganu dan Malaysia dalam pertandingan yang berlangsung pada 10 hingga 12 Julai lepas di Chao Praya University, Nakhon Sawan, Thailand.

SK Pak Ba merupakan antara sekolah yang terpilih mewakili Malaysia pada kejohanan berkenaan, bersama tiga sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu; SMK Padang Kemunting, Kuala Nerus; dan SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.
Lebih membanggakan, kontinjen Malaysia yang diwakili Pengakap Terengganu turut mencipta kejayaan dengan membawa pulang Anugerah Persembahan Terbaik (Best Performance Award), selain muncul juara bagi kategori Robot Soccer sekolah rendah dan sekolah menengah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata kejayaan itu membuktikan anak-anak Terengganu mempunyai keupayaan untuk bersaing, menyerlah dan berdiri megah di pentas antarabangsa.
"Ini membuktikan anak-anak Terengganu, termasuk dari sekolah yang mungkin kecil dari segi saiznya, mampu menghasilkan pencapaian besar apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.
"Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus berusaha, berani mencabar diri dan mengejar impian tanpa batas," katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta, guru pembimbing Ahmad Nazri Hashim, Guru Besar SK Pak Ba Puan Juwin Salim, para pengiring serta pegawai kontinjen atas dedikasi dan pengorbanan dalam memastikan kejayaan berkenaan dapat direalisasikan.

Azmi berkata kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama SK Pak Ba dan Negeri Terengganu, malah turut mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Persekutuan Pengakap Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu serta semua pihak yang memberikan sokongan dan sumbangan kepada kontinjen Malaysia.
Antara pihak yang turut menyumbang ialah Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ansar Mart, Selia Bina Padu & Trading, MBI Terengganu dan Demand Empire.
Kejayaan SK Pak Ba itu sekali gus membuktikan bidang robotik dan teknologi mampu menjadi wadah penting dalam mencungkil bakat serta potensi murid di luar bandar, selain membuka ruang kepada mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.