MARANG, 25 Mei - Kerajaan Terengganu menerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, hari ini melancarkan 'Doa Hour' sempena Hari Arafah yang akan dilaksanakan di seluruh negeri, esok.
Menurut Pengerusinya, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, 'Doa Hour' bukanlah satu amalan baru yang diada-adakan, sebaliknya merupakan pendekatan yang diketengahkan untuk mendidik masyarakat dalam menghayati kebaikan dan keberkatan Hari Arafah seiring cuti umum yang digazetkan kerajaan negeri sejak tahun 2018.
"Doa Hour akan dilaksanakan secara serentak bermula petang esok di seluruh negeri dan akan diperdengarkan di konti radio Manis FM dan juga diselaraskan di masjid terpilih di setiap daerah.
"Untuk makluman, sejak pertengahan bulan Zulkaedah lagi, pihak Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah pun menganjurkan program penghayatan tentang 'Bulan Haji' ini seperti kuliah-kuliah khas, daurah fiqh korban dan praktikal sembelihan di semua daerah.
"Mudah-mudahan kebudayaan hidup bersyariat dalam kehidupan rakyat Terengganu kian subur dan menebal, sekali gus menjadi normalisasi dalam kehidupan rakyat, sehingga terbitnya dari sanubari kita akan indahnya hidup berpaksikan syariat Islam," katanya.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham yang merasmikan pelancaran 'Doa Hour' dalam program Malam Lambaian Arafah di Masjid Bukit Payung, hari ini pula menyifatkan usaha itu sebagai platform tarbiah baru buat masyarakat.
"Kerajaan negeri akan melaksanakan program berbentuk doa secara serentak ini di seluruh negeri Terengganu sebagai simbol kesatuan hati rakyat dalam memohon kesejahteraan, keamanan, keberkatan daripada Allah SWT untuk negeri yang kita cintai ini," katanya.
Tag :