lightning-solid
Berita :
Dua Beranak Maut Dalam Kebakaran Rumah Di Tok Jembal
Dua Beranak Maut Dalam Kebakaran Rumah Di Tok Jembal
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Seorang bapa dan anak lelakinya maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 4 pagi.

Beliau berkata susulan maklumat itu, anggota ronda cegah jenayah dari Balai Polis Gong Badak dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira 4.10 pagi.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur rumah berkenaan yang dimiliki seorang wanita berusia 67 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kediaman itu kemudian menemukan dua penghuni, masing-masing lelaki dewasa berusia 40 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, yang telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata operasi pemadaman membabitkan 16 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus serta BBP Kuala Terengganu.

Menurutnya, api berjaya dikawal sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 6.10 pagi.

“Punca sebenar kebakaran dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan