KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, EPIC Berhad terus mengharumkan nama Terengganu di pentas nasional apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (Kategori 4 – Hasil Melebihi RM100 Juta) sempena Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026.
Pengiktirafan berprestij anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat syarikat berkenaan, sekali gus mencerminkan keupayaannya bersaing dalam sektor perkhidmatan negara.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam majlis yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili, melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan itu, selain menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja EPIC yang menjadi tunjang kecemerlangan syarikat.
Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan warga EPIC, malah turut mengangkat nama Terengganu menerusi pencapaian sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri di peringkat kebangsaan.
Pengiktirafan itu sekali gus menjadi penanda aras penting buat EPIC Berhad untuk terus memperkukuh prestasi, meningkatkan daya saing dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri perkhidmatan negara.