KUALA TERENGGANU, 29 Oktober– Projek pelancongan komuniti, Gading Mini Houseboat yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Buluh Gading berpotensi menjadi tarikan baharu kepada pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi Sungai Nerus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, inisiatif seumpama itu wajar disokong kerana dapat memperkenalkan keunikan kawasan setempat serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk melalui sektor pelancongan.

Kemudahan itu dilengkapi dapur, bilik rehat dan bilik air bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti memancing udang dan ikan, bermalam di tengah sungai atau menikmati keindahan pesisir Sungai Nerus.
Menurut beliau, kedudukan Kampung Buluh Gading yang tidak jauh dari muara Sungai Terengganu turut memberikan kelebihan kepada projek berkenaan untuk menarik pengunjung.

Projek berkenaan diharap dapat berkembang sebagai produk pelancongan komuniti yang berdaya maju, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan memberikan manfaat kepada penduduk setempat.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menggunakan kemudahan Gading Mini Houseboat boleh menghubungi Suhaimi menerusi talian 014-356 7007.