Jalur Gemilang
Berita :
Ghazali Cadang Bina Kereta Kabel di Chemerong
Ghazali Cadang Bina Kereta Kabel di Chemerong
Adli Mohamad
1 hari yang lepas
331

KUALA TERENGGANU, 17 November – Cadangan pembinaan kemudahan kereta kabel di Hutan Lipur Chemerong, Dungun, perlu dipertimbangkan sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pembangunan infrastruktur pelancongan dan pengangkutan di kawasan berkenaan wajar diberikan perhatian bagi meningkatkan daya tarikan destinasi pelancongan Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini, ketika menyentuh keperluan memperkukuh hubungan kewangan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

"Saya mencadangkan agar dibina kemudahan kereta kabel di Hutan Lipur Chemerong bagi menjadi tarikan pelancong," katanya.

Menurutnya, kemampuan kewangan negeri turut dipengaruhi hubungan fiskal antara kedua-dua peringkat kerajaan, justeru kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh demi memastikan kepentingan rakyat dapat diberikan keutamaan.

Jelas beliau, Belanjawan Persekutuan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu memperuntukkan RM510 bilion berbanding RM470 bilion pada 2026, dengan peruntukan geran dan bantuan kewangan kepada kerajaan negeri secara keseluruhan meningkat kepada RM12.63 bilion berbanding RM10.80 bilion sebelumnya.

"Hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh atas semangat kerjasama demi kepentingan rakyat.

" Dalam masa yang sama, kita perlu memastikan setiap permohonan peruntukan pembangunan disokong oleh kajian teknikal, data keperluan rakyat dan analisis impak ekonomi," ujar beliau. 

Selain pembangunan pelancongan, Ghazali turut menggesa supaya beberapa keperluan asas rakyat diberikan perhatian dalam permohonan peruntukan pembangunan Persekutuan, termasuk projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi, penambahbaikan sistem bekalan air serta pembaikan dan naik taraf jalan perhubungan terutama di kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Beliau turut membangkitkan keperluan meningkatkan kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar, termasuk meneruskan perhatian terhadap projek Klinik Kesihatan Kuala Jengai yang pernah disebut dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2024.

Menurutnya, setiap projek pembangunan perlu dinilai berdasarkan keperluan sebenar rakyat serta kesan jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk setempat.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan