Jalur Gemilang
Berita :
Imbang Belajar Dan Bersukan Kunci Cemerlang STPM
Imbang Belajar Dan Bersukan Kunci Cemerlang STPM
Abdul Fattah Kamarudin
5 jam yang lepas
135

MARANG, 8 September – Meluangkan masa hanya satu jam setiap malam untuk mengulang kaji pelajaran serta mengisi waktu petang dengan aktiviti sukan menjadi antara rutin yang diamalkan pelajar cemerlang STPM Bukit Sawa, Wan Shahmi Ikram Wan Sabri, 20.

Wan Shahmi yang memperoleh keputusan cemerlang dengan pointer 4.00 berkata, dia menetapkan waktu antara jam 9 hingga 10 malam setiap hari untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Waktu petang saya bersukan untuk kekalkan kecergasan dan kecerdasan otak. Malam pula saya luangkan masa satu jam untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya. 

 Wan Shahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar STPM 2025 & Syahadah Thanawiah dan Sumbangan Awal IPT 2026 di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, baru-baru ini.

Dalam majlis sama, Wan Shahmi yang berasal dari Taman Safiah Murni turut menerima sumbangan awal sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia.

“Terima kasihlah atas sumbangan ini. Insya-Allah saya akan menggunakannya sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah Mumtaz Syahadah Thanawiah, Haris Mursyidi Sulaiman, 19, dari Maahad Darul Quran, menyifatkan program berkenaan sebagai satu bentuk penghargaan yang mampu menyuntik semangat kepada para pelajar.

“Ia sangat baiklah, yang mana ADUN menyambut pelajar-pelajar yang cemerlang, sekaligus memberi semangat kepada pelajar yang akan datang untuk terus berusaha lebih lagi,” katanya yang  bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sementara itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, berpesan kepada para penerima supaya terus menjaga hubungan dengan Allah SWT dan ibu bapa apabila berada di tempat baharu.

“Selamat maju jaya. Tugas kita bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang sebagai hamba Allah SWT. Kalau lupa Tuhan, tidak ada nilai kejayaan yang telah kita capai.

“Janganlah bila duduk berjauhan dengan orang tua, solat jadi lalai. Saya nak pesan juga kepada ibu bapa untuk sering hubungi anak di sana, tanya dah solat ke belum,” katanya.

Menurut beliau, pendidikan amat penting kerana generasi muda hari ini bakal menjadi golongan yang akan mengurus dan mentadbir negeri serta negara pada masa akan datang.

“Mungkin tidak semua akan memimpin negara, tetapi paling kurang pun mereka akan menjadi pemimpin di kampung masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 208 pelajar menerima penghargaan dan sumbangan menerusi tiga kategori utama iaitu Pelajar Cemerlang STPM, Mumtaz Syahadah Thanawiah dan Sumbangan Awal ke IPT.

Program tersebut merupakan acara tahunan di peringkat DUN Pengkalan Berangan sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan serta membantu persiapan mereka untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan