lightning-solid
Berita :
Insentif RM2,000 Menanti Pelajar Imtiaz Dungun Raih 12A+
Insentif RM2,000 Menanti Pelajar Imtiaz Dungun Raih 12A+
Naim Fadhilah Kamaruddin
1 hari yang lepas
41

DUNGUN, 25 Ogos – Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Dungun yang berjaya memperoleh keputusan 12A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menerima insentif sebanyak RM2,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, ganjaran itu merupakan komitmen yang diteruskan sejak beliau menerajui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Menurut beliau, insentif berkenaan diperkenalkan sebagai galakan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai tahap kecemerlangan tertinggi dalam peperiksaan berkenaan.

“Dari awal saya menjadi YDP PIBG, kita telah berjanji bahawa sesiapa yang mendapat straight A+, 12A+, kita akan beri RM2,000.

“Tahun pertama tidak dapat, tahun kedua pun tidak dapat, tetapi alhamdulillah pada tahun ketiga, kita dapat seorang yang memperoleh straight A+, 12A+,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Muafakat Ilmu MPP3 dan Peluncuran 100 Hari Menjelang SPM 2026 di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Dungun, di sini semalam.

Dr Fakhruddin menambah, selepas kejayaan seorang pelajar memperoleh 12A+ sebelum ini, beliau berharap lebih ramai pelajar mampu mencatatkan pencapaian sama pada tahun ini.

“Kalau tahun lepas boleh dapat seorang, tahun ini insya-Allah kita harapkan generasi ini akan dapat pencapaian yang lebih besar, mungkin dua atau tiga orang.

“Janji itu masih lagi sama. Insya-Allah, sesiapa yang mendapat 'straight' A+, kita akan beri RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, program peluncuran 100 hari menjelang SPM menjadi antara tempoh penting untuk pelajar memberikan fokus sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi peperiksaan.

Menurutnya, calon SPM perlu menggunakan tempoh tersebut dengan sebaiknya bagi memperkukuh persediaan akademik dan meningkatkan usaha untuk mencapai keputusan yang membanggakan.

Beliau turut berharap para pelajar SM Imtiaz Yayasan Dungun dapat memanfaatkan tempoh 100 hari menjelang SPM dengan sebaiknya serta terus berusaha mencipta pencapaian yang lebih membanggakan.

Dalam pada itu, beliau juga sempat berpesan bahawa pelajar hari ini merupakan generasi yang bakal memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negara dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Sebab itu, kecemerlangan yang dicapai bukan sekadar untuk mendapatkan keputusan yang baik, tetapi perlu disertai dengan pembentukan jati diri dan panduan hidup yang kukuh,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan