lightning-solid
Berita :
Kemalangan Sepanjang RXZ Members Bukan Berpunca daripada Perlumbaan – Penganjur
Kemalangan Sepanjang RXZ Members Bukan Berpunca daripada Perlumbaan – Penganjur
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
78

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Penganjur RXZ Members 8.0 menegaskan kemalangan maut yang berlaku sepanjang penganjuran program itu bukan berpunca daripada aktiviti perlumbaan.

Penganjurnya, Lukhman Hassan, berkata perkara itu berdasarkan data dan maklumat yang diterimanya berhubung beberapa kemalangan membabitkan peserta program berkenaan.

“Setakat data dan maklumat yang saya terima, tiada kemalangan sehingga menyebabkan kematian berlaku disebabkan perlumbaan.

“Jika faktor manusia dijadikan isu, kemalangan maut berlaku hampir setiap hari di Terengganu walaupun ketika tiada program RXZ Members dianjurkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Lukhman, kematian adalah ketentuan Allah, namun semua pengguna jalan raya tetap bertanggungjawab mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang program berkenaan.

Katanya, tindakan itu penting bagi mendidik peserta dan mengingatkan mereka bahawa setiap pengguna jalan raya tertakluk kepada peraturan negara.

“Penguatkuasaan dilaksanakan dengan baik tanpa mengganggu perjalanan peserta atau kelancaran program sehingga ramai tidak menyedari lebih 200 motosikal telah disita.

“Saya percaya pemilik motosikal yang dikenakan tindakan mengakui kesalahan masing-masing dan tidak menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.

Lukhman berkata, penguatkuasaan PDRM juga penting bagi mengawal ketenteraman awam serta memastikan program RXZ Members dapat diteruskan pada masa akan datang secara lebih teratur dan selamat.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan mereka yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang beriman.


Tag :

Artikel Berkaitan