KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sehingga 8.00 malam ini.
Menurut amaran yang dikeluarkan pada 3.55 petang, kawasan terlibat di Semenanjung meliputi beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor.
Bagi Terengganu, daerah yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Dungun. Sementara itu, di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah dan Machang.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit dan Bintulu, selain kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Kudat di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti luar ketika ribut petir, serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku cuaca buruk atau banjir kilat.
METMalaysia memaklumkan bahawa amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dijangka berlaku di sesuatu kawasan dalam tempoh beberapa jam.