Oleh : Nurul Natasha Surin
KUALA NERUS, 25 Februari – "Kepimpinan bukanlah satu bentuk keistimewaan atau simbol kuasa, sebaliknya merupakan satu amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.
Menurutnya, kefahaman terhadap konsep kepimpinan yang sebenar perlu diterapkan dalam kalangan belia agar mereka tidak melihat jawatan sebagai matlamat utama.
“Dalam Islam, setiap individu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap amanah yang digalas, sama ada sebagai mahasiswa, pekerja, penjawat awam mahupun wakil rakyat.
“Apabila kita menjadi mahasiswa, kita memimpin diri sendiri untuk menunaikan amanah ilmu. Apabila kita bekerja dalam sektor korporat atau kerajaan, kita memimpin dalam ruang lingkup tugas kita.
“Kepimpinan bukan soal gelaran seperti CEO atau jawatan tinggi semata-mata, seseorang mungkin berjaya memperoleh kedudukan tinggi, namun tanpa jiwa khidmat, jawatan tersebut tidak akan membawa makna kepada rakyat dan organisasi yang dipimpin,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Future Terengganu Leader (FUTERA) Roadtour di Pejabat Daerah Kuala Nerus, semalam.

“Setiap bidang mempunyai cabaran tersendiri dan memerlukan kekuatan mental serta keteguhan prinsip.
“Tiada pekerjaan yang tidak diuji dengan cabaran. Sama ada dalam politik, pendidikan, perubatan atau perniagaan, semuanya menuntut kesabaran dan daya tahan yang tinggi,” ujarnya.
Beliau berharap program seumpama itu mampu membentuk belia yang berjiwa besar, berintegriti dan memiliki semangat kepimpinan berasaskan khidmat demi memastikan masa depan negeri terus terpelihara dan sejahtera.