Jalur Gemilang
Berita :
Keunikan Jeti Marang : Pok Ya Curi Perhatian, Bukti Pertalian Budaya Marang-Eropah
Keunikan Jeti Marang : Pok Ya Curi Perhatian, Bukti Pertalian Budaya Marang-Eropah
Hidayah Azlin
10 jam yang lepas
120

MARANG, 14 September – Jeti Pulau Kapas di sini bukan sahaja menjadi hub aktiviti maritim, malah menyimpan pelbagai kisah keunikan komuniti setempat yang menarik perhatian ramai.

Keunikan itu terserlah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim kebetulan bertemu dan menyapa salah seorang personaliti 'orang lama' di jeti berkenaan, Pok Ya.

Pertemuan mesra secara tidak sengaja itu berlaku selepas beliau selesai menghadiri Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Negeri Terengganu Bagi Daerah Marang.

Dr Azman menegur Pok Ya yang bersama ayah mertuanya yang berasal dari Republik Czech (Czech Republic).

"Pok Ya, antara orang lama yang sangat dikenali di Jeti Pulau Kapas, Marang. Orang puteh di sebelah ialah ayah mertua Pok Ya berasal dari Czech Republic.

"Rupanya ramai orang Melayu alik (sebelah) Marang kahwin dengan orang Eropah. Pok Ya sendiri dah ada tiga orang anak kacukan Melayu Czech," katanya.

Perkongsian itu sekali gus membuktikan keharmonian serta keterbukaan masyarakat tempatan di Marang yang menerima pembentukan keluarga merentasi benua dan budaya.

Dr Azman turut mengakui ikatan sosial di daerah berkenaan menyaksikan perkahwinan rentas budaya antara penduduk tempatan dan warga Eropah bukanlah satu perkara asing.

Sapaan mesra itu mendapat pelbagai reaksi positif warga net dan penduduk setempat yang teruja melihat keunikan kisah kekeluargaan di sebalik rutin harian warga kerja di sekitar Jeti Pulau Kapas.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan