Jalur Gemilang
Berita :
MBKT Perkenal Sistem Parkir Baharu Mulai 1 Oktober
MBKT Perkenal Sistem Parkir Baharu Mulai 1 Oktober
Mohd Irsyadi Abu Bakar
8 jam yang lepas
785

KUALA TERENGGANU, 14 September - Pengguna kenderaan di Bandaraya Kuala Terengganu dijangka akan menggunakan sistem pembayaran tempat letak kereta baru, bermula 1 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sistem itu akan dilaksanakan dalam tempoh percubaan sebelum diteruskan bagi memberi kemudahan kepada penduduk dan pengunjung di ibu negeri itu.

"Hari ini, kita telah pun selesai memeterai satu perjanjian antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan syarikat Malbase Management Sdn Bhd, sebuah syarikat yang insya-Allah akan diberi
tanggungjawab untuk menguruskan tempat letak kereta di seluruh kawasan dalam daerah Kuala Terengganu.

"Pihak Malbase Management akan bertanggungjawab menyelesaikan segala urusan pembayaran dan juga urusan berkaitan dengan tempat letak kereta. 

"Jadi, harapan saya agar selepas daripada ini segala perkara-perkara ataupun isu-isu yang berkaitan dengan tempat letak kereta ini dapat selesai dan akan memberikan kemudahan terutamanya kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani persefahaman yang diwakili Dato' Bandar MBKT, Lizan Che Mat dan Pengarah Operasi Malbase, Rafizuddin Ramly di ibu pejabat MBKT, hari ini.

Tambahnya, Kuala Terengganu bukan sahaja ibu negeri Terengganu, tetapi juga pusat pelancongan yang sangat digemari oleh pengunjung luar dan tempatan terutamanya pada musim cuti sekolah termasuk pada setiap kali hujung-hujung minggu.

Jadi, satu mekanisme yang terbaik diperlukan untuk memastikan ia sentiasa mesra pengguna.

Dalam pada itu, Lizan turut memaklumkan pemilihan Malbase Management dibuat atas beberapa pertimbangan.

"Pertama, kelebihan kita melantik Malbase dari segi perolehan pendapatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu akan bertambah.

"Kalau dulu sebelum ni kita dapat 30 peratus daripada nilai parkir yang dibayar oleh pihak pelanggan, tetapi Malbase menawarkan kita 50 peratus dari hasil yang dikutip.
"Keduanya, syarikat ini berjanji untuk menyediakan tempat-tempat pembayaran yang lebih sistematik, terutamanya di Kuala Nerus selain menyediakan satu kios 'Smart City' yang memberi kemudahan kepada rakyat," jelasnya.

Penyelesaian itu dilaksanakan bagi memudahkan pengguna dari sudut pembayaran dan dari sudut penguatkuasaan secara sistematik.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan