lightning-solid
Berita :
KPPM: Polisi Perlindungan Murid Adalah Amanah
KPPM: Polisi Perlindungan Murid Adalah Amanah
Ariss Alias
4 jam yang lepas
26

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos — Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Dr Mohd Azam Ahmad menegaskan Polisi Perlindungan Murid (Child Protection Policy - CPP) bukan sekadar satu polisi, sebaliknya merupakan tanggungjawab dan amanah bersama setiap warga pendidikan dalam memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat dan kondusif. 

Beliau berkata perkara itu perlu difahami dan dihayati semua pihak susulan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid yang kini mendapat perhatian meluas, termasuk dalam kalangan warga pendidikan. 

“Perlindungan murid bukan sekadar polisi, tetapi merupakan tanggungjawab dan amanah bersama,” katanya menerusi hantaran di media sosial berkaitan lawatan mengejutnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak di sini, semalam. 

Dalam lawatan itu, Mohd Azam bersama Pengarah Pendidikan Terengganu dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian terlebih dahulu mengisi serta menandatangani borang aku janji sebagai tanda komitmen untuk sentiasa mematuhi Polisi Perlindungan Murid sebelum menyerahkannya kepada pengetua sekolah. 

Tindakan itu dilihat memperlihatkan komitmen kepimpinan pendidikan untuk menjadikan perlindungan murid sebagai tanggungjawab seluruh ekosistem pendidikan, bukan hanya terletak di bahu guru.

Polisi berkenaan mewajibkan warga sekolah dan pihak luar yang berurusan dengan sekolah memahami serta mematuhi prinsip perlindungan murid, termasuk melalui Surat Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut menegaskan polisi berkenaan bukan bertujuan mencari pihak untuk dipersalahkan atau menjadikan guru sebagai ‘kambing hitam’, sebaliknya keselamatan dan kesejahteraan murid merupakan tanggungjawab seluruh ekosistem termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kepimpinan sekolah, agensi berkaitan dan ibu bapa.

Dalam lawatan tersebut, Mohd Azam turut mengambil kesempatan menyantuni pelajar dan guru, bertanyakan khabar serta mendengar sendiri pandangan dan keadaan mereka selain melihat dengan lebih dekat suasana dan persekitaran sekolah.
Beliau berkata setiap warga pendidikan perlu memahami, menghayati dan melaksanakan prinsip perlindungan murid bagi memastikan sekolah sentiasa menjadi tempat yang selamat, harmoni dan kondusif untuk anak-anak. 

Lawatan itu turut dilakukan sehari selepas KPM mengadakan sesi dialog berkaitan Polisi Perlindungan Murid bagi memperkukuh kefahaman warga pendidikan terhadap pelaksanaan polisi berkenaan. 

Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat KPM yang diterbitkan tahun ini turut menekankan bahawa semua warga sekolah, ibu bapa, pihak berkepentingan dan pihak luar yang berurusan dengan sekolah perlu memahami Polisi Perlindungan Murid serta menandatangani surat aku janji kepatuhan sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat. 


Tag :

Artikel Berkaitan