Jalur Gemilang
Berita :
MAHA 2026 : Pavilion Terengganu Catat Jualan Hampir RM700,000
MAHA 2026 : Pavilion Terengganu Catat Jualan Hampir RM700,000
Hidayah Azlin
19 jam yang lepas
314

SERDANG, 7 September – Pavilion Negeri Terengganu melabuhkan tirainya di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 dengan kejayaan cemerlang selepas merekodkan nilai jualan keseluruhan berjaya mencecah hampir RM700,000

Sepanjang 10 hari pameran berlangsung bermula 28 Ogos hingga 6 September lalu, pavilion berkenaan turut menjadi antara tarikan utama di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) apabila menerima kehadiran seramai lebih 200,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pengunjung serta barisan petugas yang menjayakan program berkenaan.

"Terima kasih kepada semua yang meluangkan masa berkunjung ke Pavilion Negeri Terengganu dan menyokong produk-produk keluaran usahawan tani negeri kita sepanjang temasya ini berlangsung.

"Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih khas juga ditujukan kepada seluruh barisan petugas, urusetia, serta usahawan tempatan yang bekerja keras tanpa mengira penat lelah sepanjang 10 hari pameran demi memastikan kelancaran dan kejayaan Pavilion Terengganu," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, Pavilion Terengganu kali ini tampil memukau dengan pelbagai pengisian menarik serta kulinari asli tempatan. Antara yang menjadi kegemaran utama pengunjung Lembah Klang termasuklah hidangan Nasi Dagang resipi asli Terengganu, Melon Manis Terengganu (MMT), air nira segar, serta aneka kuih-muih tradisi dan keropok lekor.

Selain keunikan kulinari, pengunjung turut disajikan dengan pameran warisan seperti kraf tangan batik dan songket, di samping latar gambar menarik menerusi replika monumen ikonik negeri seperti Jambatan Angkat (Drawbridge), penyu, dan Batu Bersurat.

Pencapaian jualan dan kadar kehadiran yang amat menggalakkan itu membuktikan produk usahawan tempatan serta seni budaya Terengganu mempunyai kualiti tinggi dan nilai daya saing yang kukuh di peringkat nasional.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan