Berita :
Majlis Iftar Perdana DUN Kijal Himpunkan 1,850 Jemaah di Empat Lokasi
Majlis Iftar Perdana DUN Kijal Himpunkan 1,850 Jemaah di Empat Lokasi
Hafiz Rosli
1 jam yang lepas
50

KEMAMAN, 15 Mac – Majlis Iftar Perdana Peringkat DUN Kijal yang melibatkan empat buah masjid di kawasan tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 1,850 orang jemaah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata program itu diadakan bagi mengimarahkan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, majlis iftar tersebut dilaksanakan secara berperingkat di beberapa lokasi dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan asnaf, nelayan dan anak-anak yatim.

“Di Masjid Lubuk Lesung, seramai 350 orang hadir memeriahkan majlis berbuka puasa dan turut diraikan seramai 115 orang anak yatim yang menerima sumbangan.

“Sementara itu di Masjid Teluk Kalong, majlis iftar melibatkan kira-kira 400 orang jemaah dan turut diadakan penyerahan sumbangan barang dapur kepada 200 orang nelayan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.



Razali berkata program iftar tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pihak masjid di setiap kawasan.

“Majlis seterusnya diadakan di Masjid Bukit Dara yang menghimpunkan kira-kira 700 orang jemaah, selain penyerahan sumbangan kepada 178 orang anak yatim.

“Manakala di Masjid Jamek Kijal, majlis berbuka puasa turut dihadiri sekitar 400 orang jemaah yang bersama-sama memeriahkan program tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, program seperti ini diharap dapat terus memperkukuhkan ukhuwah serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan