KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan lima kru warga asing yang bekerja tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam Operasi IMAN, tengah malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang memaklumkan, kesemua mereka di tahan selepas pemeriksaan rutin ke atas sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) pada kedudukan 44 batu nautika timur laut Kuala Terengganu.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati tekong bersama empat kru warga Myanmar berusia antara 34 hingga 47 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta PLKS yang sah.
“Kesemua mereka dipercayai bekerja tanpa pas yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Maritim Malaysia Terengganu.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa dokumen yang sah.
Hamiludin dalam pada itu menegaskan, akan terus mempergiat rondaan dan pemeriksaan bagi memastikan perairan negeri ini tidak dijadikan laluan atau lokasi aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat berkaitan salah laku di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 bagi tindakan segera.