Jalur Gemilang
Berita :
MB Terengganu Zahir Takziah Atas Kemangkatan Adinda Sultan
MB Terengganu Zahir Takziah Atas Kemangkatan Adinda Sultan
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
162

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu serta seluruh kerabat diraja atas kemangkatan Yang Amat Mulia Dato’ Seri Dr. Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, pagi ini.

Beliau menerusi satu kenyataan turut mewakili seluruh rakyat Terengganu merakamkan rasa dukacita atas kemangkatan Almarhum yang merupakan adinda kepada Sultan Terengganu.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Almarhum, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan serta menempatkan roh Almarhum dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga seluruh ahli keluarga dan kerabat diraja dikurniakan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu telah berkenan menetapkan tempoh perkabungan selama tiga hari, bermula 24 hingga 26 Oktober 2026.

Sehubungan itu, seluruh rakyat Terengganu dipohon menghormati tempoh perkabungan berkenaan serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, termasuk ketetapan pakaian ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan