KUALA TERENGGANU, 19 Julai -Kerajaan Terengganu mengarahkan iklan yang didakwa mengandungi ayat-ayat kurang bermoral diturunkan serta-merta selepas menerima aduan daripada orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata tindakan segera telah diambil oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebaik sahaja aduan diterima.
Menurut beliau, semakan mendapati permit pemasangan bunting berkenaan diluluskan berdasarkan reka bentuk yang dikemukakan ketika permohonan.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati bunting yang dipasang di lokasi didakwa berbeza daripada bahan asal yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa.
"Susulan itu, pihak yang bertanggungjawab telah dihubungi dan mengambil tindakan segera menurunkan bunting berkenaan pada hari yang sama selepas menerima teguran.
"Pemeriksaan di lokasi kemudian mengesahkan iklan tersebut telah diturunkan sepenuhnya dan tidak lagi dipamerkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Sukairi menegaskan bahawa semua kelulusan permit adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, dan mana-mana pihak yang mempamerkan bahan iklan berbeza daripada yang diluluskan atau melanggar syarat permit boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, sambil menyifatkan kerjasama masyarakat penting bagi memastikan kandungan iklan di ruang awam mematuhi nilai kesopanan, moral dan sensitiviti masyarakat.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperketat pemantauan terhadap pemasangan iklan serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan permit atau melanggar syarat yang telah ditetapkan.