KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Lebih 10 kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setiap hari, kepada individu yang meninggalkan sampah merata-rata di kawasan rekreasi tumpuan berbuka puasa sejak awal Ramadan.
Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, kompaun tersebut dikenakan sebagai langkah mengawal perbuatan meninggalkan dan membuang sampah merata-rata di kawasan-kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan masyarakat setempat melakukan aktiviti berbuka puasa.
"Banyak kita telah keluarkan kompaun samada di persekitaran Jambatan Angkat, Pantai Batu Buruk dan beberapa kawasan (tumpuan berbuka puasa) lain. Bermula dari awal Ramadan, setiap hari kita ada keluarkan kompaun dan dibayar. Jumlahnya tidak kurang 10 kompaun sehari.

"Sekiranya meninggalkan sampah kita akan kenakan denda tidak kurang RM50 secara langsung yang dilaksanakan unit penguatkuasa MBKT yang berpakaian biasa," katanya ketika ditemui dalam Majlis Meraikan Petugas Kutipan Sampah MBKT, di sini malam tadi.
Pada majlis berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili kerajaan negeri menyampaikan sumbangan kepada 120 petugas kutipan sampah MBKT bagi menghargai kesungguhan mereka memastikan kebersihan bandaraya persisir air itu kekal di tahap terbaik.

"Sebenarnya, kalau kita letakkan tong sampah di lokasi utama kawasan rekreasi, ia akan mencacatkan pandangan apabila ia dipenuhi sampah.
"Jadi, kita hendak mengekalkan pemandangan yang menarik dengan mengurangkan tong sampah di kawasan tersebut, tetapi bukanlah tiada.
"Ada (disediakan tong sampah), cuma di sudut yang agak tersorok," katanya.
Tag :