lightning-solid
Berita :
MBKT Perkenal Rumah Sampah, Guna Insinerator Atasi Isu Sisa di Pulau Redang
MBKT Perkenal Rumah Sampah, Guna Insinerator Atasi Isu Sisa di Pulau Redang
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
74

KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan pendekatan baharu dalam pengurusan sisa pepejal di Pulau Redang menerusi pembinaan rumah sampah (kebuk sampah) dan merancang penggunaan teknologi insinerator bermula tahun 2027 bagi memastikan pulau peranginan itu kekal bersih dan lestari.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, pembinaan  rumah sampah itu bertujuan mengumpulkan semua sisa pepejal dari kawasan perkampungan sebelum dipindahkan menggunakan bot ke Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.

"Sampah ditempatkan di rumah sampah secara transit dan dalam keadaan yang tertutup. 

"Bot akan mengambil sampah dari rumah sampah terus ke Tapak Pelupusan Sampah di Sungai Ikan. 

"Rumah sampah yang disediakan adalah tertutup dan beratap untuk mengelakkan gangguan haiwan, hujan, pencemaran bau dan tidak mencacatkan pemandangan," jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.


Menurutnya, konsep ini membolehkan pengurusan sisa dilakukan secara lebih sistematik sebelum proses pelupusan di tanah besar.

Beliau menambah, MBKT turut mengarahkan pihak kontraktor menempatkan seorang kakitangan khas di Pulau Redang bagi memastikan jadual kutipan sampah dilaksanakan secara konsisten dan tidak berlaku kelewatan.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pengusaha chalet dan penduduk Pulau Redang agar memainkan peranan dengan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan atau terus ke rumah sampah bagi memastikan kebersihan pulau sentiasa terpelihara.

Mengulas perancangan jangka panjang, Lizan berkata MBKT bercadang melantik syarikat yang mengendalikan teknologi insinerator menjelang tahun 2027 sebagai usaha memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal.

"Penggunaan teknologi pembakaran moden itu mampu mengurangkan sisa kepada abu sahaja sekali gus menghapuskan kebergantungan terhadap kaedah pelupusan sampah secara manual," katanya. 
Beliau berharap kerjasama erat antara MBKT, kontraktor, pengusaha pelancongan dan penduduk setempat dapat memastikan isu pengurusan sampah di Pulau Redang dapat ditangani secara berkesan.

"Sekali gus mengekalkan imej pulau itu sebagai antara destinasi pelancongan utama negara yang bersih, indah dan mesra alam," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata Majlis Banda­raya Kuala Terengganu (MB­KT) telah membersihkan sampah di pulau redang menggunakan dua buah bot yang mampu mengangkat kira-kira 12 tan metrik muatan setiap hari.

"Alhamdulillah, isu sampah di Pulau Redang telah diselesaikan team kebersihan MBKT," jelasnya. 

Justeru itu, beliau akan memastikan kejadian sebelum ini tidak berulang dengan pemantauan yang lebih ketat.

"Punca utama isu sampah di Pulau Redang sehingga ia berlaku sebelum ini ialah pengunjung ramai pada hujung minggu menyebabkan lambakan sampah," tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan