Jalur Gemilang
Berita :
Pelita Raya Jadi Tarikan COE Terengganu, Perkasa Silang Budaya Dua Negeri – Razali
Pelita Raya Jadi Tarikan COE Terengganu, Perkasa Silang Budaya Dua Negeri – Razali
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
14 jam yang lepas
187

KUALA TERENGGANU, 18 November – Program Pelita Raya Terengganu bakal menjadi antara tarikan dalam Kalendar Acara Pelancongan atau Calendar of Events (COE) Terengganu 2027 menerusi usaha memperluas promosi budaya dan warisan negeri kepada masyarakat luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, penganjuran program itu turut membuka peluang kepada penyertaan negeri lain sebagai usaha memperkukuh hubungan silang budaya.

Menurut beliau, ketika menyertai program Truly Terengganu Tour 2026 di Melaka baru-baru ini, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh bagi menjemput delegasi negeri itu menghadiri Program Pelita Raya Terengganu tahun hadapan.

“Selama ini SG4 juga terlibat, tetapi sekarang kita buka tawaran kepada Melaka dan menariknya, mereka berminat untuk bersama dengan kita.

“Kita mahu mereka datang melihat sendiri keunikan budaya dan tradisi masyarakat Terengganu menerusi penganjuran Pelita Raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Keempat kali Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau, penglibatan delegasi luar bukan sahaja dapat memeriahkan penganjuran program berkenaan, malah menjadi platform untuk memperkenalkan identiti, tradisi dan keunikan budaya Terengganu kepada masyarakat negeri lain.

Terdahulu, Razali turut serta dalam acara Truly Terengganu Tour 2026 Zon Selatan meliputi empat buah negeri, antaranya Johor, Melaka, Kuala Lumpur, dan Pahang sebagai langkah agresif mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2027.

Sektor pelancongan Terengganu merangkumi enam segmen utama, termasuk Pusat Bandar, Pulau dan Pantai, Seni Warisan dan Budaya, Alam Semulajadi, Kenyir Geopark, dan Pelancongan Islam (Islamic Tourism).

Justeru, beliau berharap Program Pelita Raya Terengganu terus berkembang sebagai acara pelancongan berimpak tinggi yang mampu menarik kehadiran pengunjung serta memperkukuh hubungan budaya antara negeri dengan efektif.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan