lightning-solid
Berita :
Pemandu Kancil Maut Selepas Bertembung Dengan Lori Di Setiu
Pemandu Kancil Maut Selepas Bertembung Dengan Lori Di Setiu
Ariss Alias
6 jam yang lepas
107

SETIU, 12 Julai - Seorang lelaki maut selepas Perodua Kancil dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 69, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu–Kota Bharu, di sini, pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa, Othman Abdullah, 62, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.15 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun dari Jertih sedang keluar dari simpang ke jalan utama sebelum mengundur semula untuk meletakkan kenderaannya.

"Ketika mengundur, lori tersebut dilanggar oleh sebuah Perodua Kancil yang dipandu mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan keadaan selamat sebelum keluar, berhenti atau mengundurkan kenderaan bagi mengelakkan kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Setiu atau Pegawai Penyiasat, Insp Thaufiq, di talian 011-26069043 bagi membantu siasatan.


Tag :

Artikel Berkaitan