Berita :
Pemangku Raja Terengganu Rasmi Ujana Tenaga PETRONAS Di Muzium Negeri
Pemangku Raja Terengganu Rasmi Ujana Tenaga PETRONAS Di Muzium Negeri
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
125

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Ujana Tenaga PETRONAS di Muzium Negeri, sebuah galeri baharu yang mengetengahkan perjalanan pembangunan industri tenaga di Terengganu bersama PETRONAS.

Sejurus menyempurnakan perasmian itu, Tengku Muhammad Ismail berkenan melawat galeri berkenaan yang dibangunkan di tapak asal Galeri Petroleum milik PETRONAS di muzium tersebut.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham serta Naib Presiden Kanan Projek, Kejuruteraan dan Teknologi PETRONAS, Ir Ts Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, pembukaan Ujana Tenaga PETRONAS menjadi simbol hubungan erat serta kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS.

Katanya, kerjasama tersebut tidak terhad kepada aspek ekonomi semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pendidikan, pembangunan modal insan, pemuliharaan warisan dan pembudayaan ilmu.

“Ujana Tenaga PETRONAS ini mencerminkan penjenamaan baharu peranan PETRONAS dan institusi muzium dalam mendidik masyarakat. Muzium kini boleh berfungsi sebagai pusat pembelajaran dinamik yang menghubungkan sejarah, sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Menurut beliau, dalam era digital dan teknologi baharu, Ujana Tenaga PETRONAS menawarkan pengalaman pameran yang lebih interaktif serta berasaskan teknologi moden.

“Pendekatan ini diharapkan mampu menarik minat generasi muda, meningkatkan literasi tenaga dan teknologi serta menyemai kefahaman tentang kepentingan pengurusan sumber secara lestari.

“Saya percaya, inisiatif ini akan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, rakyat awam, dan mampu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar serta penyelidik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, Ujana Tenaga PETRONAS dirangka berteraskan empat zon utama iaitu Asas, Teras, Cita dan Citra.

Katanya, pembangunan galeri itu merangkumi reka bentuk ruang, pemasangan bahan pameran, pembangunan kandungan serta integrasi elemen multimedia, audiovisual dan interaktif bagi menjadikan pengalaman pengunjung lebih menarik, mudah difahami dan dekat dengan kehidupan harian.

“Zon pertama iaitu Asas memperkenalkan permulaan dan asas pembangunan yang menjadi sebahagian daripada pertumbuhan Terengganu.

“Zon Teras pula mengetengahkan peranan sektor tenaga dalam memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi dan keperluan tenaga negara.

“Seterusnya, zon Cita membawa pengunjung melihat kepentingan inovasi, teknologi baharu, tenaga boleh baharu serta usaha ke arah masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata, zon Citra pula menonjolkan impak jangka panjang terhadap pendidikan, alam sekitar dan pembangunan komuniti supaya manfaat kemajuan dapat dirasai oleh lebih ramai pihak.

Justeru, katanya, melalui galeri itu PETRONAS berharap pengunjung bukan sahaja melihat pameran, malah turut memahami bagaimana tenaga berkait rapat dengan kehidupan harian, pembangunan negara serta kelestarian alam sekitar.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan