Berita :
Penjawat Awam Digesa Jadi Contoh, Perkasa Kesedaran Bayaran Cukai Tanah
Penjawat Awam Digesa Jadi Contoh, Perkasa Kesedaran Bayaran Cukai Tanah
Noraini Jusoh
4 jam yang lepas
87

KUALA TERENGGANU, 16 April – Penjawat awam memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat termasuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjelaskan cukai tanah mengikut tempoh ditetapkan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, penjawat awam bukan sahaja dipertanggungjawabkan melaksanakan dasar dan peraturan kerajaan.

Malah katanya, perlu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dalam aspek pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Sebagai pentadbir dan pelaksana dasar, kita sentiasa menyeru dan menggesa rakyat agar melunaskan tanggungjawab mereka membayar cukai tanah tepat pada masanya. 

“Namun, persoalannya, adakah kita sendiri telah melaksanakan tanggungjawab tersebut? Justeru, saya ingin menegaskan bahawa budaya pematuhan perlulah bermula daripada diri kita sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Setiausaha Kerajaan Terengganu Bersama Penjawat Awam Setiu sempena lawatan kerja beliau ke daerah tersebut di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pembayaran cukai tanah mungkin dilihat oleh sesetengah pihak sebagai suatu kewajipan biasa, namun hakikatnya, perkara ini membawa maksud yang jauh lebih besar. 

“Kita sedia maklum bahawa hasil kutipan cukai, khususnya cukai tanah merupakan nadi utama kepada kelestarian kewangan kerajaan negeri. 

“Setiap sen yang dikutip ini bukanlah untuk disimpan sebaliknya ia akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk pembangunan infrastruktur, bantuan sosioekonomi, penyediaan kemudahan awam dan penyelenggaraan prasarana,” ujarnya.

Katanya, beliau sedia maklum komitmen tugas yang padat membataskan masa penjawat awam untuk beratur di kaunter bayaran. 

“Atas kesedaran itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha menaik taraf sistem penyampaian supaya lebih ke hadapan.

“Kita telah menyediakan pelbagai platform pembayaran secara dalam talian dan digitalisasi perkhidmatan yang pantas serta mudah diakses hanya di hujung jari.

“Saluran rasmi bayaran juga telah dipermudahkan melalui Portal Awam e-Tanah, termasuk pilihan pembayaran menerusi Terengganu Pay (TPay), Maybank2U dan JomPAY.

Justeru, beliau berharap penjawat awam hendaklah berperanan sebagai penyampai maklumat yang berkesan, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjelaskan cukai tanah mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

“Saya mahu melihat daerah Setiu sebagai ‘benchmark’ kepada daerah lain dengan sasaran 100 peratus penyelesaian cukai tanah dalam kalangan penjawat awam pada tahun ini serta tahun-tahun mendatang,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan