KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkukuh perkhidmatan awam yang lebih dinamik, responsif, berintegriti serta berorientasikan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, komitmen tersebut diterjemahkan menerusi tema “Pentadbiran Dinamik, Perkhidmatan Cemerlang” yang menjadi teras hala tuju Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu Darul Iman mulai tahun 2026.
Menurut beliau, tema berkenaan bertujuan memacu perkhidmatan awam negeri ke arah pentadbiran yang lebih efisien, berdaya saing dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri, kehendak rakyat serta agenda reformasi perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan.
“Sebagai jentera pentadbiran, Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu sentiasa bersedia melaksanakan segala dasar dan mandat yang ditetapkan oleh Kepimpinan Negeri demi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Jelasnya, konsep Pentadbiran Dinamik membawa maksud pentadbiran yang tidak statik, sebaliknya bersifat responsif, inovatif, terbuka kepada pembaharuan serta mampu membuat keputusan secara pantas dan berkesan mengikut keperluan semasa.
"Manakala Perkhidmatan Cemerlang pula merujuk kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan profesionalisme, integriti dan akauntabiliti, menepati standard kualiti, mesra pelanggan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, tiga hala tuju strategik telah digariskan sebagai roadmap Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu bermula 2026, iaitu pemerkasaan peranan penjawat awam sebagai pelaksana agenda negeri; pengintegrasian keutamaan pentadbiran negeri dengan aspirasi kerajaan dan rakyat; serta pemantapan tadbir urus berintegriti.
Bagi memastikan hala tuju tersebut dapat direalisasikan dengan berkesan, beliau berkata, pelaksanaannya akan dipacu oleh empat pembolehdaya utama.
“Empat pembolehdaya itu merangkumi pembangunan modal insan dan peningkatan kompetensi penjawat awam, digitalisasi perkhidmatan awam, agenda reformasi perkhidmatan awam serta usaha membudayakan tatakelola yang baik,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu itu diyakini mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran negeri sekali gus memastikan rakyat sebagai stakeholders utama dapat merasai impak sebenar perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berintegriti.