Berita :
Perpecahan Umat Punca Kejatuhan, Ulama Wajib Kembali Pimpin Dunia
Perpecahan Umat Punca Kejatuhan, Ulama Wajib Kembali Pimpin Dunia
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 4 April – Perpecahan umat Islam dikenal pasti sebagai punca utama kejatuhan kekuatan dunia Islam, sekali gus membuka ruang kepada dominasi musuh, tegas Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucaptama Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah 2026 hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, perpaduan umat Islam adalah tuntutan utama kerana umat Islam berperanan menjadi teladan kepada seluruh manusia serta mentadbir mereka dengan petunjuk Allah yang berwawasan dunia hingga akhirat.

“Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW berjaya menyatukan masyarakat Arab yang sebelumnya paling keras berpecah dan ganas berperang, lalu disatukan melalui ikatan iman dengan rahmat Allah,” katanya.

Menurut beliau, Islam juga telah berjaya mewujudkan perpaduan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, bahkan dalam masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama berasaskan konsep keadilan dan saling mengenali.

Beliau turut menegaskan bahawa ulama memainkan peranan penting sebagai golongan ilmuwan yang bukan sekadar mengetahui, tetapi memahami dan mampu memimpin masyarakat dengan ilmu yang benar.

“Para ulama yang bertafaqquh memahami ilmu, menyampaikan dan mengamalkannya dengan betul bagi melangsungkan perjuangan para anbiya,” jelasnya.

Mengulas sejarah perkembangan Islam di Alam Melayu, beliau berkata rantau ini menerima Islam secara damai melalui pendekatan dakwah yang berhikmah tanpa paksaan, sekali gus berjaya menyatukan masyarakat yang berpecah mengikut suku kaum.

“Para pendakwah berjaya mengislamkan rakyat tanpa paksaan dan berkonsepkan keadilan kepada semua, walaupun berbeza mazhab dalam perkara cabang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa perbezaan pandangan dalam perkara cabang atau furuk tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya perlu diurus dengan kefahaman dan ilmu.

“Apabila berlaku perbezaan ijtihad dalam perkara cabang, ia tidak memecahkan perpaduan kerana masing-masing berpegang kepada asas yang sama,” katanya.

Dalam nada lebih tegas, beliau memberi amaran bahawa dunia Islam kini berdepan ancaman baharu yang disifatkan sebagai gabungan musuh yang bersatu memerangi Islam, ketika umat Islam sendiri berada dalam keadaan berpecah.

“Apa yang berlaku bukan lagi perang antara kaum, bangsa dan mazhab, sebaliknya Islam diperangi oleh musuhnya yang bersatu dalam keadaan umat Islam yang berpecah belah,” tegasnya.

Menurut beliau, situasi semasa termasuk konflik di Palestin menunjukkan kegagalan umat Islam mempertahankan kekuatan bersama apabila tidak bersatu dan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada semangat, tetapi mesti disokong dengan kekuatan ekonomi yang adil dan tidak menindas.

“Penguasaan ekonomi orang Islam mesti menjadi satu agenda penting yang mesti diperkasakan,” katanya.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru umat Islam kembali kepada jalan yang lurus serta tidak terjerumus dalam perpecahan yang menyimpang daripada asas agama.

“Janganlah kamu mengikuti jalan-jalan lain yang mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya,” katanya merujuk kepada peringatan dalam al-Quran.

Menurutnya, perpaduan adalah syarat utama bagi memastikan umat Islam kembali bangkit sebagai kekuatan yang dihormati di peringkat dunia.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan