Berita :
Saling Menyalahkan Punca Keruntuhan Institusi Keluarga
Saling Menyalahkan Punca Keruntuhan Institusi Keluarga
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
44

KUALA NERUS, 4 April – Sikap saling menyalahkan antara suami, isteri dan anak dikenal pasti sebagai antara punca utama kegagalan membina keluarga yang sejahtera, sekali gus memberi kesan kepada pembentukan masyarakat.

Pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang berkata, budaya ‘menuding jari’ dalam keluarga perlu dihentikan kerana ia tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan keadaan.

Beliau menjelaskan, terdapat situasi di mana suami menyalahkan isteri terhadap sikap anak, manakala isteri pula menyalahkan suami, dan akhirnya anak turut menyalahkan kedua-dua ibu bapa.

“Bila semua pihak saling menyalahkan, masalah tidak akan selesai. Setiap individu dalam keluarga ada peranan masing-masing yang perlu ditunaikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara Keluarga Bahagia dan Sejahtera di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak, di sini.

Menurutnya, pembentukan keluarga dalam Islam menuntut kerjasama semua pihak, berasaskan peranan yang jelas antara suami, isteri dan anak-anak.

Norhisyam turut menegaskan bahawa tujuan utama membina keluarga bukan sekadar memenuhi kehendak sosial atau tekanan persekitaran, tetapi merupakan tuntutan agama dan satu bentuk ibadah.

“Perkahwinan adalah sunnah Nabi. Ia bukan pilihan semata-mata, tetapi satu jalan untuk membina kehidupan yang diredai Allah serta melahirkan generasi soleh,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa pengaruh persekitaran turut memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah anak-anak, selain didikan ibu bapa di rumah.

Katanya, walaupun ibu bapa berusaha mendidik anak dengan baik, faktor luar seperti persekitaran sosial yang tidak sihat boleh memberi kesan negatif jika tidak dikawal.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa semua pihak termasuk keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan bagi mewujudkan suasana yang kondusif dan berlandaskan syariat.

“Keberkatan sesebuah negeri bermula daripada individu, kemudian keluarga, seterusnya masyarakat. Bila keluarga kuat, barulah lahir masyarakat yang baik,” tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan