Jalur Gemilang
Berita :
Program Mitigasi Ikan Asing Lindungi Ekosistem Perairan
Program Mitigasi Ikan Asing Lindungi Ekosistem Perairan
Mohd Haniff Abas
16 jam yang lepas
92

KUALA TERENGGANU, 15 September – Usaha mengawal populasi spesies ikan asing perlu dipergiat bagi memastikan kelangsungan spesies ikan tempatan serta keseimbangan ekosistem perairan di kawasan setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kehadiran ikan asing dalam sistem pengairan bukan sekadar isu berkaitan populasi ikan, sebaliknya boleh memberi kesan terhadap keseluruhan ekosistem.

Menurutnya, antara spesies ikan asing yang sering ditemui ialah keli Afrika, tilapia, ikan bandaraya dan baung ekor merah, manakala tilapia serta ikan bandaraya merupakan antara spesies yang banyak mendiami sistem saliran di kawasan berkenaan.

“Antara punca ikan asing ini berada di saliran adalah apabila ikan yang dipelihara dalam akuarium dilepaskan kerana pemilik tidak lagi mahu membelanya.

“Contohnya ikan bandaraya yang biasanya dipelihara untuk membantu membersihkan lumut dalam akuarium. Apabila tidak mahu membela lagi, ada yang melepaskannya ke longkang atau sungai kerana rasa kasihan.

“Niat mungkin baik, tetapi kesannya boleh memudaratkan ekosistem apabila ikan tersebut membiak dan menguasai habitat,” katanya ketika merasmikan Program Mitigasi Spesies Ikan Asing di Kampung Banggol Donas, di sini, semalam.

Hadir sama, Mohd Khairil Omar, Pengerusi JPKK Kampung Banggol Donas, Ketua Cawangan Sumber Perlindungan Tangkapan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Mohd Faizal bin Mat Ahan dan Presiden Persatuan Memancing Terengganu (TFA), Azri Ngah.

Program tersebut menggunakan dua kaedah tangkapan iaitu menjala dan memancing. Hasil aktiviti menjala merekodkan tangkapan sebanyak 6 kilogram ikan asing, berbanding 3.6 kilogram ikan asli, manakala kaedah memancing pula memperoleh 4.5 kilogram ikan asing dan 2.7 kilogram ikan asli.

Ridzuan berkata, spesies ikan asing tertentu mempunyai daya tahan yang tinggi serta mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, menyebabkan ia sukar dikawal apabila populasinya telah berkembang.

“Apabila jumlah ikan asing semakin banyak, ia boleh bersaing dengan ikan tempatan untuk mendapatkan makanan, ruang dan habitat.

“Sesetengah spesies juga boleh memakan telur dan anak ikan tempatan sehingga mengganggu proses pembiakan dan akhirnya menyebabkan populasi ikan asal semakin berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu turut boleh mengganggu rantaian makanan, habitat pembiakan serta keseimbangan biodiversiti dalam sistem perairan.

Katanya, masyarakat perlu memahami bahawa tindakan melepaskan ikan peliharaan ke sungai, parit atau saliran awam boleh membawa kesan jangka panjang yang sukar dipulihkan.

“Jangan kerana kita kasihan kepada seekor ikan, akhirnya kita memudaratkan ribuan hidupan lain.

“Kalau sudah tidak mahu memelihara ikan, jangan dilepaskan ke perairan awam. Carilah kaedah yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa saliran bukan sekadar saluran air, sebaliknya merupakan habitat pelbagai hidupan serta sumber kehidupan masyarakat.

“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti menangkap ikan asing, tetapi merupakan usaha mendidik masyarakat supaya lebih mengenali ikan asing dan bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar.

“Kita mahu ikan tempatan terus hidup, ekosistem terus seimbang dan khazanah perairan ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama JPKK Kampung Banggol Donas, Akademi Perikanan Malaysia (APM) dan Persatuan Memancing Terengganu (TFA).


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan