Berita :
'Setiap sen duit rakyat dipersoalkan' - Projek tukun Kijal dipantau hingga ke dasar laut
'Setiap sen duit rakyat dipersoalkan' - Projek tukun Kijal dipantau hingga ke dasar laut
Hidayah Azlin
3 jam yang lepas
54

KIJAL, 16 Jun – “Walaupun orang tidak nampak, Allah SWT nampak semua kerja buat kita,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim mengenai aspek integriti dan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek rakyat di Terengganu.

Beliau menyatakan bahawa bagi memastikan amanah tersebut dipelihara, proses pemantauan rapi telah dilakukan hingga ke dasar laut Perairan Kijal pagi tadi (semalam) sejurus selesai operasi melabuhkan tukun tiruan baharu di kawasan berkenaan.

Langkah pemeriksaan melalui selaman tersebut diambil bagi memastikan aset yang dibiayai menggunakan dana awam berada dalam kedudukan yang betul, selamat, dan mencapai standard yang ditetapkan demi manfaat optimum komuniti nelayan.

"Sebaik sahaja selesai labuh, kita turun selam untuk pastikan semua tukun berlabuh dengan selamat di dasar laut. Setiap sen duit rakyat yang dibelanjakan akan dipersoalkan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

 

Dr. Azman turut menzahirkan rasa syukur apabila program pengayaan sumber marin di perairan tersebut berjalan lancar mengikut jadual tanpa sebarang masalah teknikal.

"Alhamdulillah, laporan kerja melabuh tukun pagi tadi berlabuh dengan baik dan selamat di dasar laut Perairan Kijal, sempurna tanpa cacat cela," jelas beliau.

Kehadiran tukun-tukun konkrit ini dijangka bakal menjadi lubuk baharu bagi pembiakan hidupan marin, sekali gus membantu melonjakkan pendapatan nelayan pesisir pantai di sekitar daerah itu. 

"Tolong kongsi berita ini dalam group WhatsApp komuniti ikan. Beritahu saya jemput semua pakat mari duduk rumah banglo baru 3 tingkat pegangan bebas (freehold).

"Tiada sebarang caj dikenakan dan dijamin selamat dari ancaman pukat tunda," seloroh beliau lagi.

Struktur tukun tiruan pelbagai tingkat yang dilabuhkan itu bukan sahaja berfungsi sebagai tempat pembiakan ikan, malah bertindak sebagai benteng fizikal yang mampu merosakkan jaring bot pukat tunda haram yang sering menceroboh zon nelayan tradisional.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan