KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan tiada sebarang pemilikan tanah diberi milik secara terus kepada pelabur luar bagi projek pelaburan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, dakwaan pihak tertentu kononnya tanah negeri digadaikan adalah tidak benar sama sekali kerana pelaksanaannya mengikut saluran undang-undang yang ketat.
Menurut beliau, kerajaan negeri mengamalkan dua kaedah berstruktur bagi memastikan kedudukan dan hak tanah kekal milik Terengganu.
‘’ Tanah diwartakan di bawah Seksyen 62 bagi tujuan sektor berkaitan sebelum dipajakkan kepada pelabur di bawah Seksyen 63 untuk tempoh maksimum 21 tahun.
‘’ Selain itu, tanah diberi milik kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), seterusnya badan itu memajakkan tanah kepada pelabur untuk tempoh maksimum sehingga 30 tahun.’’ Katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Dr Azman menjelaskan, kedua-dua kaedah tersebut mengandungi klausa tegas yang membolehkan perjanjian pajakan dibatalkan sekiranya pelabur gagal mematuhi terma yang ditetapkan.
Langkah ini juga berbeza berbanding dasar pentadbiran terdahulu yang pernah memberi milik terus tanah di Pulau Redang kepada pihak luar sehingga mengeluarkan geran hak milik atas nama pemegang tersebut.
Dengan mekanisme pajakan kawalan ini, status pemilikan asal tanah negeri kekal terjamin dan terpelihara sepenuhnya.